Bantuan Barangan Keperluan Kepada Keluarga Asnaf Dalam Bandar

Bantuan Barangan Keperluan Kepada Keluarga Asnaf Dalam Bandar

Yayasan Amal ASAS telah memilih untuk membantu masyarakat dan keluarga asnaf dalam bandar.Kemiskinan bandar merupakan satu masalah sosial yang perlu dibantu oleh Kerajaan dan juga NGO.

Majoriti daripada keluarga asnaf bandar menetap di kawasan perumahan yang di majukan oleh Kerajaan dalam skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin PPRT. Boleh dikatakan hampir keseluruhan keluarga yang menetap dalam kawasan PPRT terdiri dari masyarakat asnaf yang layak mendapat bantuan. Terdapat pelbagai skim PPRT di Lembah Klang. Jawatankuasa Pengurusan YAA telah memilih PPRT Lembah Subang, yang terletak berhampiran dengan Ara Damansara, sebagai tempat tumpuan untuk YAA memberi bantuan. PPRT Lembah Subang mempunyai kira-kira 2400 keluarga yang tinggal dalam 8 buah blok rumah pangsa. Sejak bulan April 2018, YAA telah melancarkan beberapa aktivititi amal seperti berikut untuk masyarakat asnaf PPRT Lembah Subang;


1. Bantuan Keperluan Pesakit Kronik 
Ada beberapa keluarga (dalam rekod lebih dari 50) mempunyai pesakit kronik seperti mangsa sakit angin ahmar, kencing manis, çonginetal births seperti cerebral palsy, jantung berlubang dan pelbagai lagi jenis sakit kronik. Pesakit pesakit tersebut ada yang terlantar diatas katil, uzur atau pun telah hilang keupayaan fzikal. Pesakit tersebut memerlukan keperluan harian seperti pampers, susu istimewa dan sebagainya. Barangan lain seperti kerusi roda dan juga ‘walking frame’ adalah keperluan mereka.

2. Bantuan Barangan Makanan 
Ada juga antara ketua keluarga asnaf PPRT Lembah Subang yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan tetap atas beberapa sebab seperti tahap kesihatan yang tidak mengizinkan, ibu tunggal yang terpaksa menjagai penuh masa ahli keluarga OKU atau pesakit kronik.  YAA  menyalurkan sumbangan dari ahli ASAS dan masyarakat, memberi bantuan barangan keperluan dapur kepada keluarga-keluarga yang sangat memerlukan. 

3. Sumbangan Majlis Iftar dan Keperluan Hari Raya
YAA juga ada memberi sumbangan bagi menjayakan majlis iftar dan moreh di Surau di PPRT Lembah Subang ,dimana Kos penyediaan untuk 1 majlis iftar dan moreh dilaporkan sekitar RM 300/sehari. YAA juga, dengan sumbangan ahli-ahli ASAS, memberi bantuan kepada asnaf-asnaf di sini bagi keperluan hari raya mereka


4. Menyekolahkan Anak Anak Tidak Bersekolah
Ada terdapat beberapa anak anak yang sepatutnya bersekolah tetapi tidak pergi sekolah, atas beberapa sebab seperti
kemiskinan, kurang kesedaran dan juga tidak mempunyai dokumen kelahiran dan kad pengenalan. Wakil YAA akan
mengenal pasti anak-anak dan akan membantu menguruskan pendaftaran semula anak-anak tersebut untuk hadir sekolah berdekatan. Barangan keperluan persekolahan anak-anak ini juga akan diuruskan.


5. Menyediakan Peluang Pekerjaan untuk Belia PPRT
YAA dengan kerjasama sebuah syarikat Agensi Pekerjaan GNA Resources Sdn Bhd juga mengadakan ‘temuduga terbuka’
untuk belia belia PPRT mendapat kerja tetap dengan majikan terpilih.


6. Gotong Royong Pembersihan Kawasan
Yayasan Amal ASAS dengan kerjasama NGO-NGO yang lain juga mengadakan acara gotong royong pembersihan kawasan sekitar PPRT Lembah Subang. Gotong royong ini melibatkan penduduk tempatan juga.