Program Asas Insan Cemerlang (AIC)

PROGRAM ASAS INSAN CEMERLANG

Program ASAS Insan Cemerlang (AIC) ini merupakan initiatif Yayasan Amal ASAS yang terdiri daripada alumni Sekolah Alam Shah yang majoriti dulunya adalah pelajar dari keluarga asnaf dan miskin. Peluang menimba ilmu di SAS dan seterusnya di IPT di dalam dan luar negara hasil ehsan masyarakat telah berjaya membantu mereka mengubah nasib diri dan keluarga.

Kini, warga ASAS ini ingin membalas budi baik masyarakat melalui penganjuran program intervensi perubahan pelajar ini yang dihasilkan dari pengembelingan idea, tenaga, kepakaran serta dana daripada mereka yang telah mengharungi perit getir dalam usaha mencapai kejayaan di dalam kehidupan dan kerjaya.

Diharapkan program ini dapat memberikan inspirasi kepada kumpulan sasar iaitu para pelajar terutama mereka yang dari golongan asnaf dan miskin untuk melakukan transformasi diri demi mengejar cita-cita meningkatkan kecemerlangan di dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan.

Objektif Program

1. Melahirkan para pelajar yang mempunyai ciri-ciri seorang Insan Cemerlang seperti:

  • Nilai Murni dan Minda Positif
  • Sikap Positif serta Tingkahlaku Mulia
  • Sahsiah Diri Cemerlang
  • Disiplin Diri Yang Tinggi
  • Fizikal, Minda dan Emosi Yang Sihat
  • BerIlmu dan Berpengetahuan Luas
  • Kompetensi Diri Yang Tinggi

2. Memperkasakan para pelajar dengan Kemahiran Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi bagi membentuk pemimpin yang berketrampilan di masa hadapan.

3. Memantapkan para pelajar dengan Kompetensi Pekerjaan Kritikal dan Keusahawanan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pembelajaran.